Bernikah Kerana Dakwah
Bernikah Kerana Dakwah | “ Sayang, macam mana ni..? Kak Long dah tanya..nak beli tiket. Makin lambat, makin mahal nanti..”“Hurmm.. kalau macam tu minta Kak Long beli saje lah. Abang pergilah temankan Abah dan Ma. Sayang tak boleh cuti lama-lama laa..”
Laju jawapan itu meluncur daripada mulutku. Aku memberi laluan kepada suamiku untuk ke Eropah, menemani ibu dan ayahnya, iaitu ibu dan bapa mertuaku sendiri. Mereka kepingin benar untuk ke sana, bagi menghadiri majlis graduasi adik ipar ku.
Saat ini, terngiang-ngiang pesan ibu di telinga : “ Antara ibu kandung dan ibu mertua, harus kita berbuat baik dan menjaga hati ibu mertua, lebih daripada ibu kandung sendiri. Sebab ibu kandung, adalah ibu kandung. Apapun yang terjadi, seorang ibu pasti akan mengampunkan anak kandungnya. Tapi ibu mertua asalnya adalah orang asing dalam hidup kita. Dan seorang menantu juga adalah orang asing dalam hidupnya. Kalau menantu tidak pandai mengambil hati mertuanya, lantas mertua berkecil hati dengan menantunya, belum tentu lagi mertua akan mengampunkan dosa menantunya.”
Begitulah pesan ibu kepada kami adik-beradik. Anak-anak ibu 4 orang
perempuan, hanya 1 orang lelaki, membuatkan ibu selalu memberi
pesanan-pesanan yang cenderung kepada isteri dan menantu perempuan.
Walaupun kadangkala pesanan ibu kedengaran ekstrim dan keterlaluan, jika
difikirkan dalam-dalam, nyata ada benarnya.
Malam itu kami menerima jemputan khas ke daurah kami. Si isteri ialah ikon yang tidak asing lagi. Beliau adalah pimpinan tertinggi akhawat dalam jemaah kami. Tetapi suami beliau bukanlah seorang yang dikenali umum. Populariti mereka berdua sangat jauh berbeza. Aku secara peribadi sangat berminat untuk mengenali hati budi lelaki ini. Lelaki yang menjadi suami kepada wanita yang hebat, ikon terkenal masyarakat. Tidakkah pernah si suami ini merungut, akibat kesibukan isterinya dalam menunaikan hak kepada jemaah pimpinannya, melebihi hak ahli keluarga sendiri? Lantas aku tidak melepaskan peluang, bertanyakan soalan yang telah lama terpendam di hati. Bagi aku peluang sebegini belum tentu akan datang lagi, rugi aku melepaskannya!
“Kerana kita mahu mencari redha Allah…”
Tenang sahaja wajah lelaki itu tatkala menjawab soalanku. Kedengaran
cukup mudah. Beliau berlapang dada dan menerima kesibukan isterinya
bersama jemaah, kerana beliau yakin, semuanya adalah untuk mencari redha
Allah. MasyaAllah..Sungguh, janji Allah itu Maha Benar! Untuk isteri
yang hebat, pasti ada suami yang hebat di sisinya.
“ Kami dalam flight dah. Sekejap lagi abang nak off handphone dah. Doakan abang..”
“ InsyaAllah..kerana Allah! Nak gembirakan hati Abah dan Ma kan? J”
Begitulah bunyinya pesanan ringkas terakhir kami, sebelum suamiku berlepas ke Eropah, bersama Abah dan Ma, meninggalkan aku dan 2 orang anak kecil kami. Aku terus berusaha, mengikhlaskan hati, seikhlas-ikhlasnya! Bukankah tanggungjawab seorang anak laki-laki terhadap kedua orang tuanya tidak pernah berubah, sekalipon setelah dia berkeluarga? Maka aku di sisinya, memasang azam untuk menjadi isteri yang akan mendorong suamiku ke jalan syurga. Tak mahu aku menjadi batu penghalang kepada suami dalam berbakti kepada kedua ibubapanya.
Sama juga ketika aku berlapang dada saat tiap malam suamiku pulang lewat kerana urusan dakwah dan tarbiyahnya. Usrah sendiri, usrah bersama mutarabbi, program sana, mesyuarat sini. Hujung minggu juga jarang yang berbaki untuk kami sekeluarga. Pasti ada sahaja program yang menuntut tenaga dan masanya. Pendek kata, walaupun kelihatan kami tinggal sebumbung, mungkin masa yang kami luangkan bersama, tak ada bezanya dengan pasangan yang hidup jarak jauh.
Benarlah kata ustazah itu : “Isteri-isteri antum bukanlah milik antum, tapi mereka adalah milik dakwah! Isteri-isteri antum adalah milik islam dan milik Allah!”
Maka pasti pesanan yang sama buat isteri-isteri juga. Suami yang kita nikahi di atas jalan yang penuh baraqah ini, yang kita nikahi dengan niat mencapai mardhatillah ini, hakikatnya, bukanlah milik kita. Suami kita adalah milik dakwah! Suami kita adalah milik islam dan milik Allah! Maka kita isteri, tidak lebih sekadar sebagai pembantu di sisinya, sebagai pendorong agar suami kita boleh berbuat sebaiknya dalam mencari syurga dan redhaNya. Dan pastinya, sama juga dengan anak-anak yang Allah kurniakan kepada kita. Sediakah kita menginfakkan semuanya ke jalan jihad fi sabilillah? Adakah kita sehebat Khansa’?
Sepatutnya, inilah konsep kefahaman Baitum Muslim sebenar, yang harus
dipasakkan kukuh-kukuh ke dalam hati setiap manusia yang menggelarkan
diri mereka sebagai Da’ie. Keperluan mendirikan rumahtangga bagi seorang
da’ie adalah terlalu eksklusif dan agung. Bukan calang-calang orang
yang dapat menerima pasangan suami atau isteri yang langsung tidak
dikenali sebelumnya. Alangkah suci dan mulianya permulaan kepada ikatan
itu. Namun nilainya akan runtuh serta-merta, jika tidak dikemudi dan
dilayari selari dengan tuntuan sang Pencipta. Ikatan ini ialah landasan
kepada sebuah ketaatan, yang akan melahirkan lebih ramai lagi
hamba-hamba yang soleh dan musleh, yang akan menjadi pejuang dan penegak
agama Allah di muka bumi ini.
Bukan niatku untuk mengajar sesiapa. Tapi kekasih-Nya telah
mengajarku untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Maka aku
harap coretan ini akan menjadi pembakar semangat buat diriku sendiri
pastinya, dalam merealisasikan kefahaman Baitul Muslim yang aku imani.
Dan aku harap, agar tulisan ringkasku ini, akan menjadi pedoman dan
panduan buat hati-hati yang membaca. Semoga ada saham buatku di akhirat
kelak.Buat ikhwah akhawat di luar sana, ingatlah, tatkala hati mula berkira-kira, ingatlah…
Kerana kita ingin menggapai redha Nya!
Ummu Fateh, Hanum
quranicgen.com
No comments:
Post a Comment